MENTERI LUAR NEGERI, YB DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN MENGADAKAN PERBINCANGAN BERSAMA MENTERI PERUNDANGAN EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE),TYT SULTAN SAEED AL BADI, BERHUBUNG KES ENCIK RICHARD LAU DI DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU

Menteri Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Perundangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) TYT Sultan Saeed Al Badi di Hotel Al Naseem Jumeirah, Dubai, UAE pada 12 Februari 2018. Kehadiran YB Menteri Luar Negeri ke perbincangan tersebut diiringi oleh TYT Duta Besar Malaysia ke UAE, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai serta pegawai-pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai. Pegawai-pegawai tertinggi dari Kementerian Perundangan UAE turut terlibat dalam perbincangan selama 30 minit tersebut.

Tujuan YB Menteri Luar Negeri berjumpa dengan TYT Menteri Perundangan UAE adalah untuk memohon bantuan dan kerjasama kerajaan UAE dalam menyelesaikan dengan segera isu berkaitan penahanan Encik Richard Lau. Semasa sesi perbincangan berkenaan, TYT Menteri Perundangan UAE telah memaklumkan bahawa Kerajaan UAE akan membantu bagi menyelesaikan kes berkenaan yang berlarutan selama 10 bulan mengikut lunas undang-undang UAE. YB Menteri Luar Negeri turut merakamkan penghargaan di atas komitmen dan kesediaan Kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

Di samping itu, YB Menteri Luar Negeri dijangka akan melakukan Lawatan Konsular ke atas Encik Richard Lau di Penjara Pusat, Ras Al Khaimah pada 14 Februari 2018. Pertemuan tersebut akan diaturkan oleh Kementerian Luar Negeri UAE dan Kementerian Perundangan UAE.

Pada ketika ini, kes tahanan reman EncikRichard Lau masih lagi berlanjutan sejak 27 April 2017. Siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan difahamkan pihak pendakwa raya sedang mengumpul bukti-bukti transaksi di dalam akaun milik Encik Richard Lau.

Source: Ministry of Foreign Affairs of Malaysia